Langkau ke kandungan utama

Review Yamaha Nmax 150 cc Malaysia

Bagi saya sendiri secara peribadi, saya kurang peka tentang dunia skuter. Pada saya skuter mempunyai circle sendiri iaitu bagi mereka yang suka kepada mood santai ketika menunggang. Minggu ini saya berpeluang untuk membuat review Yamaha Nmax 150 cc. Pengalaman ini membuat pendapat saya berubah 360 darjah berkenaan skuter.

Tunggangan solo
Pandangan sisi tunggangan Yamaha Nmax

Tunggangan Santai

Saya sendiri menggunakan jentera KTM RC 200 sebagai kenderaan harian saya. Mungkin faktor usia menyebabkan saya berfikir untuk memiliki tunggangan yang lebih santai dan relaks. Kebetulan Yamaha Nmax muncul di minda ketika itu dan saya berpeluang untuk tunggang skuter yang berharga RM8,300.00 dari Yamaha ini.

Design yang Kemas

Dari segi rekabentuk, saya sangat suka dengan saiznya. Tak terlalu kecil dan tak terlalu besar. Bentuk lampu hadapan (headlamp) tampak garang dan kacak bagi sebuah skuter.

Saat mula menunggang motor Yamaha Nmax ini, saya merasakan kuasa yang dijana oleh enjin berkapasiti 150cc ini cukup untuk menggerakkan keseluruhan beban dengan mudah. Tempat duduk (seat) Nmax ini juga sangat lembut. Cukup lembut untuk memberikan keselesaan bagi perjalanan 200 ke 300 KM.

Sesuai Untuk Perjalanan Jauh

Kalau dari pendapat saya sendiri, saya rasakan Skuter Yamaha Nmax ini sesuai untuk perjalanan jauh dengan halaju tidak lebih 120 KM/j. Cukup laju untuk meluncur di Highway. Saya tak berkesempatan untuk menguji keupayaan enjin Nmax ke tahap maksimum dan mencapai top speed namun saya diberitahu top speed Yamaha Nmax adalah lebih kurang 130 KM/j.

Jimat Minyak Petrol

Dari segi penggunaan bahan api pula, dengan isian tangki 6.6 liter penuh, Yamaha Nmax boleh pergi sejauh lebih kurang 237 kilometer sebelum kita perlu singgah di petrol pump terdekat untuk mengisi petrol. Jarak 237 kilometer ini cukup jauh dan sangat menjimatkan untuk mereka yang ulang alik ke tempat kerja secara harian.

Berbaloi Untuk Dimiliki

Sejak balik dari pandu uji Yamaha Nmax ni, saya dah mula angau nak memiliki sebijik skuter ini. Namun saya masih lagi menunggu untuk pandu uji skuter Modenas Elegan 250 yang terbaru. Saya perlu untuk membuat perbandingan antara kedua skuter ini sebelum membuat keputusan untuk meneruskan angan-angan saya terhadap skuter impian akan datang (lepas habis bayar ansuran KTM RC 200).

Perbandingan

Mungkin ada yang mengatakan perbandingan antara skuter Yamaha Nmax 150 dan Modenas Elegan tidak adil kerana kapasiti enjinnya. Namun saya membuat perbandingan ini adalah kerana harganya yang tidak jauh berbeza iaitu Modenan Elegan lebih kurang berharga RM12,000. Selain itu Modenas Elegan dan Yamaha Nmax masih lagi dalam satu kategori iaitu skuter.


Bagi anda yang mungkin sudah ada pengalaman berkaitan Nmax dan Modenas Elegan boleh beri pendapat untuk pembaca lain? Terima kasih.

Ulasan